Update 2024-03-27: Greatly expanded the "Samples" page and renamed it to "Glossary".
Update 2024-04-04: Added 5 million mid-2011 posts from the k47 post dump. Browse (mostly) them here.
Update 2024-04-07: Added ~400 October 2003 posts from 4chan.net. Browse them here.

Welcome to Oldfriend Archive, the official 4chan archive of the NSA. Hosting ~170M text-only 2003-2014 4chan posts (mostly 2006-2008).
[1 / 0 / ?]

[1378749361] Purchase Soccer Players

No.7404 View ViewReplyOriginalReport
Sedang pengurus pasukan bola sepak di England dan Eropah menarik nafas lega selepas berebut dan berlumba membeli pemain pada saat-saat akhir sebelum tempoh pemindahan pemain ditutup pada Isnin lalu, ramai sudah mula membuat andaian dan memperkatakan rasional di sebalik pembelian tersebut. Ada pula yang mengkritik.

Berita Harian memaparkan empat pembelian melibatkan kelab-kelab ternama dan bintang paling dikenali ramai.


Nama pemain: Marouane Fellaini

Usia: 25 tahun

Posisi: Midfield penyerang

Asal: Belgium

Daripada: Everton

Kepada: Manchester United

Bayaran pemindahan: £27.5 juta

Pembeliannya hanya boleh dianggap satu kejayaan kecil untuk United. Ini kerana kelab itu gagal mendapatkan tiga lagi pemain yang disasarkan untuk mengukuhkan pasukan, termasuk seorang lagi rakan Fellaini di Everton iaitu Leighton Baines.

   Pada harga itu, Fellaini juga dianggap terlalu mahal kerana United menawarkan £28 juta untuk membeli kededua Fellaini dan Baines tetapi ditolak Everton.


Nama pemain: Mesut Ozil

Usia: 24 tahun

Posisi: Midfield penyerang

Asal: Jerman

Daripada: Real Madrid

Kepada: Arsenal

Bayaran pemindahan: £42.4 juta

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, akhirnya dapat menutup mulut pengkritiknya dengan membeli Mesut Ozil.

   Difahamkan, Real Madrid terpaksa melepaskan Ozil untuk membiayai pembelian Gareth Bale daripada Tottenham Hotspur dan ada sesetengah penyokongnya yang merayu supaya Ozil tidak dijual.

   Pembelian Ozil, yang memecahkan rekod perbelanjaan Arsenal ke atas seorang pemain, kini menggambarkan kesungguhan kelab itu meningkatkan saingannya musim ini.


Nama pemain: Gareth Bale

Usia: 24 tahun

Posisi: Midfield penyerang

Asal: Wales

Daripada: Tottenham Hotspur

Kepada: Real Madrid

Bayaran pemindahan: £84.8 juta

Gareth Bale kini pemain paling mahal di dunia. Namun, ramai yang mempertikai sama ada beliau bernilai sebanyak itu.

   Ramai juga yang tertanya-tanya sama ada Real melakukan pembelian bijak dan sama ada Bale lebih baik daripada bintang Real yang ada sekarang, Cristiano Ronaldo.

   Memang Bale telah mempamerkan permainan cemerlang dalam Liga Perdana pada musim lalu sehingga beliau dipilih memenangi bukan satu, malah tiga anugerah tahunan di England.

   Lariannya dari bahagian sayap, terutama dari sebelah kanan, amat digeruni dan beliau berupaya melepaskan rembatan kencang, sering kali ke sudut gawang, yang gagal diselamatkan penjaga gawang.

   Kini dunia menanti sama ada beliau boleh berganding dengan Ronaldo apabila Real bertemu Villarreal dalam satu pertandingan La Liga 14 September ini.


Nama pemain: Kaka

Usia: 31 tahun

Posisi: Midfield

Asal: Brazil

Daripada: Real Madrid

Kepada: AC Milan

Bayaran pemindahan: Percuma

Kaka mengalami masa mendukacitakan di Real Madrid. Pemain Terbaik Dunia tetapi kecederaan dan faktor-faktor lain menyebabkan beliau sering tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama Real.

   Sekembalinya ke Italy, Kaka, yang masih mempunyai ramai peminat di Milan, dijangka berpeluang menemui kembali sentuhan cemerlangnya. - AP


Yang terlepas

Bukan semua kelab berjaya mendapatkan pemain yang disasarkannya pada saat-saat akhir sebelum tempoh pembelian pemain ditutup. Yang paling rugi adalah Manchester United, yang terlepas membeli sekurang-kurangnya tiga pemain.


Fabio Coentrao

Usaha United mendapatkan pemain pertahanan Real Madrid ini dikatakan menemui kegagalan kerana urusan pentadbiran. United tidak sempat menyudahkan permohonan untuk mendapatkan Coentrao sebelum tempoh pemindahan ditutup. Ini menimbulkan tanda tanya mengapa usaha itu tidak dibuat lebih awal?


Leighton Baines

Everton menolak bidaan United sebanyak £15 juta untuk mendapatkan Baines pada saat-saat akhir. Pengurus Everton, Roberto Martinez, difahamkan tidak mahu kehilangan dua pemain utamanya selepas Maruoane Fellaini berpindah ke United.


Ander Herrera

Proses pemindahannya dipenuhi tanda tanya. Manchester United dikatakan gagal mendapatkan khidmat Herrera kerana ada beberapa orang tidak dikenali berlagak sebagai pegawainya dan berkunjung ke Athletic Bilbao untuk membuat pertanyaan mengenai pemain muda itu. Namun, United berkata rundingan menemui kegagalan kerana syarat pelepasan pada harga 36 juta euro terlalu tinggi.


Shane Long

Long tiba di Hull City pada lewat malam Isnin untuk menguruskan butir-butir terakhir pemindahannya daripada West Bromwich Albion. Namun, Albion mengubahkan pendiriannya kurang 30 minit sebelum tempoh pemindahan ditutup. Kasihan Hull dan Long, yang sudahpun menjalani dan lulus ujian kecergasan untuk berpindah.


Demba Ba

Rundingan antara Chelsea dengan Arsenal mengenai perjanjian pinjaman penyerang ini menemui jalan buntu lewat Isnin lalu. Puncanya Chelsea meminta bayaran sebanyak £3 juta untuk tempoh pinjaman setahun. Pengurus Chelsea, Jose Mourinho, juga tidak mahu melepaskan penyerang berbahaya itu kepada kelab pesaingnya. - AP